KUALA KURAU - Kejayaan perlaksanaan Inisiatif program silang budaya di antara sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) Al-Hidayah, Parit Abas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pekan Kuala Kurau di sini, membuka mata masyarakat mengenai kepentingan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Melalui Jawatankuasa Aktiviti Pasca PT3 daerah Kerian, SABK Al-Hidayah, Parit Abas di sini, bertindak menganjurkan program bersejarah di antara tiga sekolah berlainan bangsa dan budaya yang turut melibatkan lawatan ke SJKC Wai Sin, Batu 5, Parit Buntar dan SJKT Kuala Kurau, di sini.
Pengetua SABK Al-Hidayah, Mohd Azahar Abu Bakar berkata, program itu bertujuan mengeratkan lagi silaturahim di antara bangsa dalam negara Malaysia.
Menurutnya, di samping itu, pelajar dapat mempelajari budaya masyarakat India dan Cina secara lebih dekat melalui sesi penerangan ramah mesra disampaikan guru-guru sekolah terbabit.
“Program ini amat istimewa dan julung kali diadakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar agar mereka boleh belajar secara tidak langsung tentang kebudayaan masyarakat lain.
“Selain itu, sambutan diberikan pelajar amat menggalakkan sekali gus memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan mereka,” katanya, semalam.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Kuala Kurau, R Ganthiamah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran pelajar dan guru SABK yang sudi melawat sekolah mereka untuk mengeratkan lagi silaturahim di samping memperluaskan jaringan persahabatan dalam kalangan pelajar.
AL-HIDAYAH EXCELLENT TAHUN 2020