Bagan Serai, 28 Jan 2012. Seramai 200 orang Guru Pendidikan Islam daerah Kerian mengikuti seminar profesionalisme bertempat di Dewan Ibnu Khaldun SMK Abu Bakar AlBaqir (SABAR). Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islam (PEKDIS) dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Kerian ini berjaya menghimpunkan guru agama yang bertugas di Sekolah Rendah, Menengah, SABK dan guru-guru jQAF daerah ini.
Menurut penganjur, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada semua guru Pendidikan Islam daerah ini berkaitan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pendidikan Islam untuk menambah ilmu pengetahuan para guru untuk disampaikan kepada para pelajar.
Majlis dirasmikan oleh Pn Hjh Salmiah Binti Sabran Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Perak. Dalam ucapannya beliau menyentuh mengenai pencapaian keputusan Pendidikan Islam terutama dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu. Terdapat sekolah-sekolah yang masih ada pelajar yang gagal dalam matapelajaran ini dan menyebabkan pencapaian di peringkat kebangsaan menurun.
Beliau juga menyarankan kepada semua guru Pendidikan Islam agar sentiasa peka dengan keperluan memberi pendidikan dan tidak mengabaikan tugas yang diamanahkan. Setiap guru perlu membuat inovasi bagi meningkatkan kemahiran dari segi penyampaian pengajaran.
Menurutnya lagi, guru Pendidikan Islam perlu meningkatkan kemahiran melalui kerjasama yang padu diantara satu sama lain dan juga bekerjasama erat dengan pengurusan sekolah. Dalam usaha memantapkan pengurusan matapelajaran agar lebih tersusun dan mencapai sasaran, pihak jabatan akan menghantar pegawai untuk membuat pemantauan ke sekolah-sekolah secara berkala.
Turut hadir ke program ini Pegawai Pelajaran Daerah Pn. Ommi Kalsum Mohamad , Pengetua Sekolah SABAR En Abd Khaidir Jailani Mohamad dan penceramah jemputan Ustaz Ahmad Nasim Bin Abd Raof.
VISI KAMI : AL-HIDAYAH CEMERLANG TAHUN 2015
0 komentar:
Catat Ulasan